Mohd Rafi Mamat


Rompin: Pelancong menaiki bot ke Pulau Tioman terkejut dengan kemunculan lapan ikan lumba-lumba di perairan Kampung Juara yang seolah-olah menyambut kedatangan mereka.

Pelancong Mohd Farid Mohd Ramly berkata, sebelum ini dia berpeluang melihat ikan lumba-lumba sedang berenang dari jauh namun kali ini begitu hampir.

"Mamalia itu seolah begitu jinak dan ingin berkawan dengan pelancong yang menaiki bot. Kemunculanya juga untuk menangkap sotong yang banyak di perairan Pulau Tioman," katanya yang bertugas dengan Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Sementara itu, Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, ikan lumba-lumba sering muncul di perairan Kampung Juara terutama setiap kali musim sotong dan keadaan air laut tenang.

Menurutnya, sebelum ini terdapat pelancong berpeluang melihat kira-kira 20 ikan lumba-lumba dalam satu kumpulan mengekori bot mereka sambil melakukan pelbagai aksi yang menarik dan menghiburkan.

"Sebelum ini saya hanya berpeluang melihat dari jauh mamalia berkenaan namun baru-baru ini saya dapat melihat lebih dekat apabila spesies marin itu mengekori bot yang saya dan beberapa pelancong naiki untuk mencandat sotong.

"Lapan ikan lumba-lumba bergerak dalam dua kumpulan, mengekori bot yang saya naiki kira-kira 150 meter," katanya di sini, hari ini.

Razib berkata, selain perairan Kampung Juara ikan lumba-lumba turut ditemui di kawasan perairan lain di Pulau Tioman dan dilihat mengekori bot membawa pelancong.

"Minggu lalu pelancong berpeluang melihat beberapa ekor ikan lumba-lumba di kawasan jeti selama dua hari berturut-turut. Rata-rata pelancong begitu teruja," katanya.

Pelancong berpeluang melihat ikan lumba-lumba di perairan Kampung JuaraPelancong berpeluang melihat ikan lumba-lumba di perairan Kampung Juara. FOTO RAFI
Pelancong berpeluang melihat ikan lumba-lumba di perairan Kampung JuaraPelancong berpeluang melihat ikan lumba-lumba di perairan Kampung Juara. FOTO RAFI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 11:57 AM