KEJERNIHAN air laut di sekitar Pulau Tioman menjanjikan pemandangan dalam air yang jelas.
KEJERNIHAN air laut di sekitar Pulau Tioman menjanjikan pemandangan dalam air yang jelas.
Hafiz Ithnin

Sebaik saja tiba di Jeti Kampung Salang, Pulau Tioman, Pahang selepas menaiki feri kira-kira dua jam dari jeti Tanjung Gemok, Rompin hilang segala kepenatan dilalui penulis kerana berjaga sepanjang malam dalam perjalanan menuju ke pulau itu dari Kuala Lumpur.

Kala berdiri di atas jeti, mata penulis dihidangkan dengan pemandangan indah, air laut jernih biru kehijauan yang mempesonakan. Fahamlah penulis mengapa lokasi ini dikatakan antara tempat menyelam terbaik di Malaysia.

Terasa lebih ‘kenyang’ apabila berpeluang mendekati hidupan air termasuk ikan pelbagai saiz dan warna serta hamparan batu karang kukuh berada di dasar laut pulau berkenaan.

Pengembaraan penulis kali ini juga sememangnya ingin memfokuskan kepada aktiviti menyelam skuba sebaik berpeluang mengikuti salah satu operator perkhidmatan selam skuba, P44irate Scuba yang dimiliki Muhammad Firdaus Zolkefli bersama rakan-rakan ke destinasi ini buat kali pertama. Ini kerana difahamkan Kampung Salang boleh diibaratkan sebagai ‘perkampungan penyelam’ antarabangsa.

HIDUPAN marin yang jelas boleh dilihat dari atas jeti.
HIDUPAN marin yang jelas boleh dilihat dari atas jeti.

Perkara itu jelas dapat dilihat ketika feri tiba di jeti, rata-rata pengunjung membawa beg besar berisi pelbagai peralatan menyelam. Sama seperti kumpulan penyelam yang disertai penulis, mereka juga membawa rakan-rakan yang ingin menaik taraf lesen menyelam ke pertingkat lebih tinggi.

Di Kampung Salang, terdapat operator menyediakan pelbagai pakej menyelam, menyediakan perkhidmatan kelas lesen menyelam dan menyewakan peralatan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti berkenaan.

Hari pertama, penulis mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri pengalaman menerokai dunia marin di kawasan yang hampir dengan pesisir pantai di kampung itu. Ternyata, ketika berada di dasar sedalam lapan meter saja sudah cukup memukau panorama indah di dalamnya.

Terdapat beberapa tukun di kawasan berkenaan yang menjadi lokasi pembiakan ikan-ikan dan terumbu karang. Paling menarik, ada juga rakan penyelam yang melihat sotong berlegar-legar berhampiran mereka.

Air laut jernih dari pesisir pantai hingga ke lokasi kami menyelam sememangnya menjanjikan visual terbaik untuk melihat hidupan marin dan berasa begitu puas sekali.

KUMPULAN penyelam gembira sebaik mengakhiri aktiviti menyelam skuba.
KUMPULAN penyelam gembira sebaik mengakhiri aktiviti menyelam skuba.

Pada sebelah malam, kami juga merasai pengalaman menyelam skuba sekitar 11 meter di kawasan jeti. Keadaan gelap sekadar bertemankan lampu suluh masing-masing membolehkan kami melihat hidupan laut yang aktif pada waktu itu.

Kurang lengkap aktiviti selam skuba sekiranya tidak melakukannya di kawasan tengah laut dengan menaiki bot dan di Pulau Tioman. Ini kerana terdapat beberapa lokasi berhampiran yang sesuai dan menarik untuk melihat hidupan marinnya.

Antara lokasi yang dilawati kumpulan menyelam kami ialah Fan Canyon yang mengambil masa kira-kira 25 minit dari Kampung Salang dengan menaiki bot. Di sini sempat juga menyelam kira-kira 45 minit sedalam sekitar 20 meter.

Ketika berada di Fan Canyon keadaan laut tidak begitu baik dan yang dapat dilihat hanyalah hidupan batu karang yang pelbagai warna. Selain itu, beberapa kemahiran menyelam skuba juga tidak dapat dilakukan kerana situasi berkenaan.

Berbanding di Batu Malang, iaitu sebuah lagi lokasi menyelam yang mempunyai jarak perjalanan sekitar lima minit dari Fan Canyon, dari permukaan air saja jelas kelihatan terumbu karang berwarna - warni dengan pelbagai jenis ikan berada di bawah bot.

AKTIVITI menyelam skuba pada ketika malam antara yang dilakukan.
AKTIVITI menyelam skuba pada ketika malam antara yang dilakukan.

Menyelam sejauh 20 meter di kawasan itu sememangnya memberi kepuasan kepada kumpulan penyelam kerana ada antara kami yang melihat penyu berenang begitu dekat dengan mereka.

Sememangnya, Kampung Salang antara lokasi terbaik di Pulau Tioman yang menjanjikan pengalaman menyelam skuba boleh dibanggakan. Tidak hairan juga pelancong dari Singapura misalnya menjadikan pulau itu sebagai destinasi santai untuk menyelam pada setiap hujung minggu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 1:07 PM