GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Perasaan kecewa dirasai pemain sektor pelancongan di Pulai Tioman apabila kerajaan menangguhkan gelembung pelancongan di pulau peranginan terbabit.

Penangguhan sama turut berlaku di Genting Highlands yang sebelum ini diumumkan akan dibuka semula kepada pelancong mulai Jumaat ini selepas Pahang memasuki fasa ke tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pemilik Tioman Santai Resort di Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, pengusaha pelancongan di pulau ini sudah bersedia dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti selepas hampir dua tahun tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, impian untuk melihat pelancong datang ke Pulau Tioman tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan gelembung pelancongan berkenaan.

"Saya sudah menerima beberapa tempahan penginapan, namun terpaksa dibatalkan apabila gelembung pelancongan di pulau ini ditanggunhkan ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan.

"Pelancong yang sudah membuat tempahan bilik juga terkilan apabila terpaksa menangguhkan rancangan mereka selain ada membatalkan tempahan," katanya dihubungi, di sini, hari ini.

Bagi Shahrolhazri Sani yang mengusahakan Juara Mutiara Resort berkata, penangguhan membuka Pulau Tioman tidak sepatutnya berlaku terutama selepas kejayaan Langkawi.

"Pemain sektor pelancongan di Pulau Tioman pastinya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Sudah lama kami tidak beroperasi... bagilah peluang untuk meraih sedikit pendapatan apabila gelembung pelancongan dibuka," katanya yang berharap kerajaan dapat memberi alasan kenapa Pulau Tioman belum boleh dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 2:49 PM