KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di kilometer (KM) 21 Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang Johor. FOTO Ihsan JBPM.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di kilometer (KM) 21 Jalan Renggam-Simpang Renggam di Kluang Johor. FOTO Ihsan JBPM.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seorang penghantar barang maut selepas Honda Civic dipandu terbabas lalu bertembung sebuah lori dalam kemalangan di kilometer (KM) 21 Jalan Renggam - Simpang Renggam di sini 2.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Nur Fitri Azlan, 23, maut serta merta di lokasi kejadian akibat parah di kepala, lutut sebelah kiri dan badan.

Bahrin berkata, mangsa sebelum itu dari Johor Bahru bagi membeli barangan motosikal.

"Mangsa mempunyai perniagaan kedai motosikal yang diusahakan bersama rakannya.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu lori dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam manakala mangsa yang maut dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa disyaki hilang kawalan dan memasuki laluan lori berkenaan lalu berlanggar.

"Akibat dari pelanggaran itu, pemandu kereta mengalami kecederaan yang teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori berusia 48 tahun bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dengan kekuatan keseluruhan seramai sembilan anggota dihantar ke tempat kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Il Norhisam Ihwan berkata, pihaknya mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan alatan bagi menyelamat namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

"Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 6.19 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 11:18 PM