Keadaan kenderaan berat yang terbabit dengan kemalangan maut di Bidor, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Keadaan kenderaan berat yang terbabit dengan kemalangan maut di Bidor, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMANDU lori maut selepas kenderaan berat dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 352.5, Lebuhraya PLUS arah utara dekat Bidor, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, M Krishnan, 65, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler pula hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai gagal memotong treler yang berada di lorong kiri sebelum kedua-dua kenderaan berlanggar.

“Kedua-dua kenderaan kemudian terbabas sebelum memasuki gaung kecil di kiri jalan menyebabkan pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat manakala pemandu treler yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 3:26 PM