OPERASI SAR digerakkan untuk mengesan seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Sungai Padas, Tenom. FOTO Ihsan JBPM
OPERASI SAR digerakkan untuk mengesan seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Sungai Padas, Tenom. FOTO Ihsan JBPM
Juwan Riduan

Tenom: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sungai Padas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya belum ditemui sehingga kini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.26 pagi.

Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan bot dikerah ke lokasi kejadian.

"Pusat Gerakan Operasi Sabah menerima panggilan kecemasan mangsa dikhuatiri terjatuh dari Jambatan Sungai Padas.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang menggunakan bot bomba," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat lanjut berhubung operasi SAR ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 4:37 PM