ANGGOTA bomba dalam operasi menyelamat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjun dari atas jambatan Batu Pahat. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dalam operasi menyelamat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjun dari atas jambatan Batu Pahat. FOTO Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh dari Jambatan Peserai di Sungai Batu Pahat, semalam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Khairul Hiysam Hamim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.52 malam dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi pencarian di permukaan dilancarkan bagi mengesan lelaki dikenali Tan See Wee, 52, sebaik tiba anggota di lokasi.

“Keadaan air sungai yang keruh menyukarkan pencarian di samping risiko kepada anggota kerana sungai itu terdapat buaya.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan kawasan pencarian kini diperluaskan sepanjang sungai Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam ternampak seorang lelaki terjun dari jambatan ke Sungai Batu Pahat.

“Mangsa meninggalkan sebuah motosikal di tepi jalan dan hasil siasatan mendapati pemiliknya adalah seorang lelaki berbangsa Cina,” katanya ketika dihubungi.

#kw jatuh, sungai, batu pahat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:06 PM