LOKASI  kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai jatuh. (Gambar kecil) Mangsa yang dipercayai hilang. FOTO Ihsan JBPM.
LOKASI kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai jatuh. (Gambar kecil) Mangsa yang dipercayai hilang. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terjatuh dari jambatan di Sungai Batang Lassa, di Daro dalam Bahagian Mukah, pagi hari ini.

Menurut saksi kejadian, dia melihat kenderaan terbabit melalui Jambatan Batang Lassa yang sedang dalam pembinaan itu.

Bagaimanapun, kenderaan itu tiba-tiba hilang dari pandangan dan saksi terbabit kemudiannya bergegas ke atas jambatan itu sebelum mendapati pagar yang menjadi penghalang keselamatan pada hujung jambatan patah.

Dia mengesyaki kenderaan terbabit jatuh dan tenggelam ke dalam sungai pada jarak 800 meter dari tebing sungai.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.45 pagi.

Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, bomba mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi dan memeriksa lokasi yang dipercayai kenderaan itu terjatuh di tiang ke sepuluh jambatan yang masih dalam pembinaan itu dan berada 800 meter dari tebing sungai.

"Pemeriksaan mendapati, tiang keselamatan di tepi jambatan itu patah akibat dirempuh kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dan bomba dengan bantuan tiga bot milik syarikat pembinaan jambatan untuk membuat pencarian di permukaan.

"Kedalaman air di lokasi kenderaan itu terjatuh dianggarkan 12 meter ketika air pasang dan lapan meter ketika surut.

"PGO Sarawak juga sudah menghubungi Kawalan BBP Sungai Merah di Sibu untuk mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk digerakkan ke lokasi," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat lanjut yang diperoleh di lokasi, kenderaan terbabit disahkan Toyota Hilux berwarna perak dan mangsa dikenal pasti lelaki bernama Kelvin Lau Ben Song, 25.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 8:23 AM