PASUKAN bomba menjalankan operasi pencarian di lokasi mangsa dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN bomba menjalankan operasi pencarian di lokasi mangsa dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Kuala Penyu: Remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi manda di pesisir pantai Kampung Tempurung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan ke lokasi untuk beriadah bersama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan hilang sebelum dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun ditemui selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dan bot dikerah ke lokasi kejadian.

"Dua mangsa dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang lagi masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan kaedah pencarian atas permukaan pada 5.54 petang menggunakan bot," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, radius pencarian SAR dijalankan sekitar dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 7.07 malam.

"Operasi akan disambung semula pagi esok dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:39 PM