MAYAT mangsa yang ditemui diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. FOTO IHSAN BOMBA
MAYAT mangsa yang ditemui diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. FOTO IHSAN BOMBA
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Beaufort: Remaja lelaki yang hilang selepas terjatuh dari sampan ketika cuba menyeberangi Sungai Padas di Kampung Bingkul di sini, kelmarin ditemukan mati lemas petang tadi.

Andreanus Ola Kian, 17, ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 4 petang terapung di Kampung Melugus, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung jam 9 pagi tadi membabitkan bot penyelamat bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehingga Simpang Sungai Weston dan Suasa sejauh 40 kilometer dari Pos Kawalan Bomba.

Katanya, kira-kira jam 4 petang mangsa ditemui atas maklumat orang awam di Kampung Melalugus iaitu satu kilometer dari pusat kawalan tempat kejadian.

"Selepas ditemui, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat jam 5 petang tadi," katanya.

Dalam kejadian jam 5 petang Selasa lalu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menemui rakannya yang tinggal di seberang Sungai Padas.

Ketika mangsa tiba di tebing sungai berhampiran rumahnya, sampan yang dinaikinya tiba-tiba dimasuki air menyebabkan mangsa terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:49 PM