Asrol Awang

Kuantan: Memperkasa ekonomi nelayan dan penjaja antara lapan janji dan komitmen yang akan dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.

Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Beserah, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, usaha itu akan dilakukan jika memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain itu, akan turut menyediakan skim perumahan mampu milik atau kos rendah kepada penduduk DUN Beserah yang berkahwin dan bekerja tetapi tidak mempunyai penyata pendapatan.

"Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), mini hospital dan pusat penempatan banjir akan disediakan bagi kemudahan di kawasan Chendor, Cherating dan Sungai Ular.

"Dalam pada itu, aktiviti dan acara serta kemudahan pelancongan akan dipertingkat dalam usaha merancakkan industri pelancongan di pesisir pantai.

"Aspirasi golongan muda tidak dilupakan dan membina hentian bas Rapid bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media Janji dan Komitmen Calon BN Beserah, di sini, semalam.

Katanya, janji dan komitmen itu disebabkan tiada perubahan di DUN Beserah yang dilaksanakan pembangkang selama tiga penggal.

"Tawaran berkhidmat kepada rakyat di DUN itu berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun di dalam bidang pentadbiran, korporat dan politik," katanya.

Pada PRU15, DUN Beserah antara kerusi tumpuan apabila membabitkan pertandingan lima penjuru.

Bagi DUN Beserah dalam Parlimen Indera Mahkota, Mustaffar Kamal akan mencabar penyandang, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Manakala, Pakatan Harapan (PH) diwakili Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Zulkifli Mohamed serta dua lagi pencabar iaitu calon Pejuang, Mohd Fauzi Taib dan Tan Siang Yew (Bebas).

MUSTAFFAR Kamal menunjukkan janji dan komitmen jika menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah pada PRU15. FOTO ASROL AWANG
MUSTAFFAR Kamal menunjukkan janji dan komitmen jika menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah pada PRU15. FOTO ASROL AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 12:42 PM