AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu (lima kiri) sudah menjangkakan kemerosotan majoriti undi diperolehnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Foto BERNAMA
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu (lima kiri) sudah menjangkakan kemerosotan majoriti undi diperolehnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Foto BERNAMA
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, sudah menjangkakan kemerosotan majoriti undi diperolehnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, perkara itu sudah dijangka lebih awal atas faktor pertembungan tiga penjuru.

“Saya tidak terkejut dan sudah jangka majoriti kita (PAS) akan berkurang...kita akan bermesyuarat selepas ini dan kenal pasti apa punca lain.

“Selepas ia (faktor lain) sudah dikenal pasti kita akan mencari jalan memperbaiki serta menambah baik pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Dalam PRU-14, Andansura memenangi kerusi DUN Beserah dengan majoriti 1,305 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Suhaimi Sulong dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulkifli Mohamed.

Pada PRU-13 Andansura memenangi kerusi sama dengan majoriti 3,987 undi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, berterima kasih kepada pengundinya di DUN Beserah kerana masih memilihnya sebagai wakil rakyat.

Katanya, usaha keras jentera parti serta penyokongnya di Beserah adalah kunci kepada kemenangan PAS di kawasan DUN itu.

“Alhamdulillah saya bersyukur diberikan peluang untuk terus berkhidmat...pertembungan kali ini memang sengit dan saya akan terus bergerak ke hadapan untuk membawa suara pengundi di Beserah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:09 PM