ZULKIFLI Mohamed (tengah) pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
ZULKIFLI Mohamed (tengah) pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang akan bertanding sebanyak 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed, berkata daripada jumlah itu, parti itu menampilkan dua calon wanita yang akan bertanding di Dun Tanjung Lumpur dan Guai.

Katanya, sebahagian besar calon berkenaan terdiri daripada golongan profesional dan ahli perniagaan.

"Pada PRU-15, Amanah Pahang akan bertanding 16 kerusi Dun dan empat kerusi Parlimen berbanding 11 Dun dan satu Parlimen pada PRU-14.

"Kita yakin 20 calon ini akan membantu untuk memenangi kerusi pada pilihan raya kali ini," katanya pada Majlis Serahan Surat Lantikan calon Amanah Pahang di sini, hari ini.

Zulkifli turut mengumumkan akan bertanding di kerusi DUN Beserah pada pilihan raya kali ini.

"Amanah yang bergabung bersama PH akan memastikan kejayaan berpihak kepada parti berkenaan," katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan empat calon parti berkenaan akan bertanding di Parlimen Pahang.

Mereka adalah Ahmad Azam Mohamad Salleh yang akan bertanding di parlimen Paya Besar, Ahmad Shuhor Awang (Maran), Juhari Osman (Kuala Krau) dan Mohd Hasbie Muda (Temerloh).

Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan empat daripadanya akan diwakili parti Amanah manakala bakinya akan diumumkan rakan parti itu dalam PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pada PRU-14 lalu, PH memenangi empat kerusi iaitu Bentong, Temerloh, Raub dan Kuantan, sembilan kerusi milik Barisan Nasional (BN) manakala satu kerusi pula milik Perikatan Nasional (PN) di Indera Mahkota.

Di peringkat Dun pula, PH memenangi sembilan kerusi, 25 kerusi milik BN manakala Pas pula memenangi lapan daripada 42 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:47 PM