ABANG Johari Tun Openg. FOTO Nadim Bokhari.
ABANG Johari Tun Openg. FOTO Nadim Bokhari.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg, enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa pihaknya sudah bersetuju untuk membantu Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, beliau tidak mengetahui mengenai persetujuan bersama antara BN dan GPS untuk membentuk kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan sebuah akhbar 21 Oktober lalu.

"Saya juga hanya mengetahui perkara itu selepas membacanya (laporan berita). Saya tidak mahu komen kerana ia tiada apa-apa," katanya kepada media selepas majlis perasmian Program Sarawakku Sayang di Long Tuma, Lawas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad bahawa BN yakin gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU-15 dibantu dengan sokongan daripada GPS.

Ahmad mendakwa perkara itu sudah dipersetujui dalam satu pertemuan pimpinan kedua-dua gabungan itu sebelum ini.

Sebelum ini, Abang Johari mengakui beberapa pakatan parti politik di Semenanjung berusaha memujuknya mendapatkan sokongan GPS bagi mengukuhkan kedudukan mereka untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Ia berikutan beberapa kenyataan beliau yang menyatakan kesediaan untuk menyokong mana-mana pihak yang mampu membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.

Justeru, beliau menyifatkan GPS yang diyakini mampu meraih kemenangan besar di Sarawak pada PRU-15 kini ibarat 'gadis cantik' apabila ramai yang cuba memikatnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), empat parti Gabungan GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menang 19 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 5:53 PM