Mohd Roji Kawi


Kuching: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengakui pihaknya merancang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) diadakan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, sebagai kerajaan yang prihatin dengan keselamatan rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda, pihaknya menangguhkan proses demokrasi itu.

Justeru katanya, kini PRN-12 ditetapkan tahun depan, namun tarikhnya masih belum difikirkan, sama ada pada awal tahun atau sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak matang pada Jun tahun depan.

"Sebenarnya kami (kerajaan Sarawak) merancang pilihan raya lebih awal (sebelum tempoh DUN tamat) tetapi disebabkan Covid-19 , kita harus mengutamakan rakyat dan menangguhkan pilihan raya itu.

"Sekarang sudah pertengahan Disember, bermakna pilihan raya akan diadakan tahun depan, tetapi bila (tarikh), saya tak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Perasmian 'TheLast Ring Ladies Mural' di Kota Padawan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata, kepentingan dan keselamatan rakyat Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Kami sentiasa menetapkan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin apabila negara dilanda wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, tiada keperluan untuk GPS membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan.

"Tidak perlu dan pendirian GPS itu sudah dijelaskan oleh Karim (Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah)," katanya.

Semalam, Abdul Karim berkata, GPS akan terus dengan kedudukan sekarang iaitu menyokong kerajaan PN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 3:43 PM
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Hari Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan dan Pelancaran "The Last Ring Ladies Mural" di Perkarangan Tempat Letak Kereta Kota Padawan Mall, Batu 10. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Hari Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan dan Pelancaran "The Last Ring Ladies Mural" di Perkarangan Tempat Letak Kereta Kota Padawan Mall, Batu 10. FOTO Nadim Bokhari