ABANG Johari pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dun Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dun Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg enggan memberi sebarang maklum balas berhubung kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan yang sedang berlaku sekarang.

Premier Sarawak itu meninggalkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak petang ini tanpa mahu menjawab soalan wartawan meskipun diekori hingga ke kenderaannya bagi mendapatkan komen beliau berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, semua Ahli Parlimen GPS akan membuat analisis dan berbincang kalangan mereka berhubung calon Perdana Menteri dan kemudian Abang Johari akan membuat keputusan berlandaskan analisis itu.

Menurutnya, keadaan sekarang agak kelam kabut dan orang ramai maklum tiada siapa boleh mendakwa mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Sekarang kamu tengok di media sosial, semua kelam kabut. Kita tidak tahu sebenarnya siapa yang mempunyai angka mencukupi atau siapa sokong siapa.

"Misalnya jika Perikatan Nasional (PN) tidak mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (PN), mereka tetap tidak akan mampu membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS," katanya.

Bagaimanapun, sumber dalaman Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pula berkata, semua 22 Ahli GPS yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu, sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) semalam.

Beliau berkata, SD itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap calon Perdana Menteri Ke-10 yang selari dengan nama yang diumumkan oleh Abang Johari, semalam.

Menurut sumber terbabit, hanya seorang lagi Ahli Parlimen GPS belum menandatanganinya iaitu Baram yang keputusan rasmi PRU-15 bagi kawasan itu hanya akan diketahui malam ini.

"Apa yang kami tahu, SD itu adalah bagi menyatakan sokongan terhadap calon Perdana Menteri dan semua 22 Ahli Parlimen GPS sepakat menyokong calon yang disebut oleh Pengerusi (Abang Johari).

"Setahu saya, tidak timbul isu ada Ahli Parlimen GPS yang membuat 'u-turn' seperti yang didakwa di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 5:35 PM