ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama tiga lagi pakatan parti politik Semenanjung dan Sabah.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, keputusan itu dibuat demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan campuran bersama GPS itu terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipersetujui dalam pertemuannya bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara, pagi tadi.

"Kita sedia maklum, tiada mana-mana parti mempunyai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan selepas selesai Pilihan Raya Umum PRU-15 (PRU-15) semalam.

"Dunia dan negara kita bakal berdepan dengan cabaran krisis ekonomi dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting tahun depan.

"Justeru demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, kerajaan campuran yang bakal dibentuk itu bermatlamat untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Kerajaan campuran itu juga menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, MA63 dan Laporan IGC.

"Kerajaan campuran juga akan memastikan autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak," katanya.

Ketika ditanya mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri kerajaan campuran itu, Abang Johari berkata, pihaknya menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Bagi GPS, kami memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 6:15 PM