Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuntut Kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi wilayah Sabah dengan kuasa yang signifikan.

Tuntutan itu terkandung dalam perkara ke-12 daripada 13 perkara yang digariskan dalam Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dibentangkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Dalam perkara sama, Hajiji berkata, GRS juga mahu memastikan peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diurus tadbir.

Katanya, GRS komited mewujudkan kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat, memperhebatkan usaha memupuk perpaduan merentasi agama, kaum dan budaya serta memastikan kebebasan beragama di Sabah berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Hajiji berkata, manifesto GRS turut menggariskan usaha meneruskan usaha menuntut hak Sabah berdasarkan artikel 112 (b), 112 (c) dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan sejajar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"GRS juga akan memastikan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan di Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), meningkatkan fasiliti pendidikan dengan menaik taraf sekolah daif dan menambah baik kemudahan kesihatan di seluruh negeri," katanya.

Tidak ketinggalan, GRS turut menggariskan manifesto meneruskan usaha menuntut tambahan kawasan Parlimen di Sabah bagi mendapatkan semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sehingga berjaya.

Dalam itu, GRS menggariskan perkara pertama dalam manifestonya berkaitan usaha memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Ketua Menteri selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Ketua Menteri selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

"Antaranya kita akan menarik lebih ramai pelabur untuk membangunkan sektor pertanian (huluan), memantapkan jaminan keberhasilan petani, nelayan dan penternak, menggalakkan pertanian moden, menubuhkan pusat pemasaran sektor pertanian dan pemberian insentif.

"Dalam sektor perindustrian pula, kita akan menarik pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran dan memacukan pertumbuhan ekonomi.

"Dalam sektor pelancongan pula, kita akan memanfaatkan kekayaan flora dan fauna, menggalakkan penglibatan usahawan dalam agropelancongan, memperkenalkan produk baharu pelancongan, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari luar datang ke Sabah," katanya.

Ia diikuti perkara kedua berkaitan usaha memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk kerajaan Sabah mengambil semula pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Hajiji berkata, perkara itu turut merangkumi usaha meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga yang boleh diperbaharui, khususnya yang berasaskan teknologi hijau, bagi memastikan bekalan tenaga yang mesra alam serta mencukupi di Sabah.

Baki tujuh lagi perkara dalam manifesto GRS bagi PRU-15 masing-masing berkaitan dengan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; menggalakkan pembabitan belia dalam pembangunan negara; dan memperkasa utus tadbir perkhidmatan awam Sabah.

Turut digariskan ialah usaha meningkatkan pembabitan Sabah dalam industri minyak dan gas; memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas, khususnya menaik taraf jalan raya seluruh Sabah, membina dan menaiktaraf loji air dan menyegerakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Tidak ketinggalan usaha menyediakan kemudahan perumahan rakyat dan memperbaiki pengurusan tanah bagi memastikan pengeluaran geran permohonan tanah rakyat dipercepatkan, termasuk menubuhkan 'Native Land Foundation' untuk melindungi Hak Anak Negeri Sabah dan mempercepatkan pengeluaran geran rizab kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:16 PM