Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang, di Kerdau. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Muhyiddin Yassin (kanan) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang, di Kerdau. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
BERNAMA

Kota Kinabalu: Calon Bersatu Sabah yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menggunakan simbol Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, walaupun menggunakan logo GRS, kemenangan calon itu akan dikira sebagai kemenangan Bersatu kerana ia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

"Itu persefahaman yang sudah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu... situasi agak luar biasa sedikit di Sabah yang terbentuk kerajaan negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan, di sini keadaan istimewa, kami menerima perbezaan di Sabah," katanya.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, badan kepimpinan Bersatu negeri serta GRS bagi mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan serta faedah kepada rakyat dan parti.

Ditanya mengenai hubungan 'dingin' antara Pas dan Umno, Muhyiddin berkata, Pas adalah parti pengasas PN dan kekal sebagai rakan kongsi penting, terutama ketika menghadapi PRU-15.

"Pas berkali-kali menyatakan mereka akan kekal sebagai rakan kongsi penting PN, itu sudah jelas sekarang dan tiada lagi ketidakpastian... ini akan membuka jalan untuk PN menjadi lebih kuat dan bekerja lebih efektif dalam PRU kali ini," katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra di sini.

Turut hadir, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Hajiji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 8:09 AM