Oleh Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti lompat parti dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada penghujung November ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagaimanapun pelaksanaan pembentangan RUU terbabit bergantung kepada sokongan daripada parti dari blok pembangkang.

"Insya-Allah kita akan perkenalkan dan membawa pembentangan RUU itu ke persidangan DUN nanti.

"Mungkin kita akan bersidang hujung bulan November ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti.

"Ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita harus mempunyai dua pertiga majoriti untuk meluluskan RUU ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya perkembangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang dilaporkan keluar dari BERSATU di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini dan menyatakan sokongan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Menjelaskan perkara terbabit, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS berkata, pihaknya belum menerima sebarang pengesahan ataupun pengumuman rasmi daripada Wetrom mengenainya.

"Saya pun tidak tahu beliau lompat (dari parti secara rasmi) atau tidak. Kita belum ada lagi pengumuman rasmi daripada beliau (Wetrom)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun sebelum ini mengesahkan pautan yang tular di laman media sosial berkenaan Wetrom keluar dari BERSATU selepas dilihat menghadiri program anjuran WARISAN.

Menurutnya, tindakan Wetrom telah dijangka berikutan bekas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) - 15 di kerusi Parlimen Kota Marudu di mana kerusi terbabit diperuntukkan kepada rakan BERSATU dalam GRS, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum memberi sebarang pengesahan berhubung penyertaan Wetrom memasuki parti di bawah pimpinannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 1:41 PM
Hajiji Noor hadir ke Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Hajiji Noor hadir ke Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ