Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri melakukan yang terbaik di samping memberi tumpuan utama dalam menangani cabaran kesihatan, keselamatan secara berkesan dan mengurus ekonomi secara mampan serta strategik.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, perjuangan pihaknya dalam menjaga kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi ketika penularan pandemik Covid-19 ini penuh dengan cabaran.

"Banyak yang sudah dan sedang kerajaan lakukan bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan di samping mempelbagaikan punca pendapatan rakyat.

"Dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disusun, sememangnya pembangunan ekonomi negeri dan rakyat menjadi agenda utama kerajaan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

HAJIJI berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin
HAJIJI berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Hajiji berkata, walaupun sudah dua tahun sambutan Maulidur Rasul di Sabah tidak diraikan secara tradisi dengan perhimpunan besar-besaran dan berarak disebabkan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk meraikan serta menghayati sunnah Rasulullah SAW.

"Maulidur Rasul tahun ini juga membawa kita menjejaki ambang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu.

"Pastinya bukan soal jumlah peruntukan yang kita perolehi tetapi seboleh mungkin ia akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.

"Justeru, kerajaan merangka pelan pembangunan SMJ bagi mendepani cabaran ini yang berfokus kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan," katanya.

Selain itu, Hajiji juga berkata, pihaknya sudah melonggarkan sekatan perjalanan rentas daerah yang berkuat kuasa pada 14 Oktober lalu, manakala rentas negeri bermula pada 1 November ini.

"Saya berharap kebenaran ini mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan peluang kepada rakyat untuk hidup seperti dahulu walaupun dalam keadaan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 2:04 PM