ORANG utan betina membawa anaknya di sebuah zoo di Perancis. FOTO AFP
ORANG utan betina membawa anaknya di sebuah zoo di Perancis. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Saintis memerhatikan seekor orang utan menyapu herba perubatan pada luka di muka haiwan itu.

Percubaan itu dilihat berjaya untuk menyembuhkan kecederaan, serta kali pertama tingkah laku haiwan direkodkan.

Orang utan sebelum ini dilihat memakan atau menggosokkan tumbuh-tumbuhan padanya, dalam tingkah laku yang menurut teori saintis bertujuan mengelak penyakit atau ketidakselesaan.

Tetapi perbuatan itu jelas dilihat oleh penyelidik di Indonesia pada 2022, sebelum perkara itu dilaporkan dalam jurnal Nature Scientific Reports, baru-baru ini.

Saintis sedang menjejaki seekor orang utan jantan yang digelar Rakus di Taman Negara Gunung Leuser di wilayah Aceh, Indonesia apabila mereka melihat luka terbuka di mukanya.

Tiga hari kemudian, mereka ternampak haiwan itu sedang mengunyah daun pokok anggur, Fibraurea tinctoria, yang terkenal dengan khasiat perubatannya dan sekian lama digunakan dalam perubatan tradisional tempatan.

Orang utan itu dilihat mula mengunyah daun tanpa menelannya dan menggunakan jarinya untuk menyapu jus tumbuhan itu dari mulut terus ke luka mukanya," demikian menurut kajian saintis Indonesia dan Jerman.

Apabila lalat mula hinggap, Rakus menyapu seluruh luka dengan pulpa tumbuhan sehingga daging merah itu ditutup sepenuhnya dengan bahan daun hijau itu.

Keesokan harinya, Rakus dilihat memakan daun anggur itu semula dan seminggu kemudian, lukanya tertutup seterusnya sembuh tanpa sebarang tanda jangkitan.

Kajian itu menerangkan tingkah laku itu sebagai kes pertama yang didokumenkan secara sistematik bagi rawatan luka aktif dengan spesies tumbuhan yang diketahui mengandungi bahan aktif secara biologi oleh haiwan liar.

Penyelidik berkata, mustahil memastikan tingkah laku itu disengajakan, namun fakta bahawa jus dan daun digunakan berulang kali dan hanya pada luka, menunjukkan Rakus cuba merawat kecederaannya.

Mereka membuat spekulasi, orang utan itu mungkin terjumpa rawatan itu dengan mengunyah tumbuhan terlebih dahulu sebelum mendapati jus itu boleh melegakan kesakitan apabila secara tidak sengaja menyentuh ke bahagian luka.

Orang utan diketahui mempelajari kemahiran antara satu sama lain melalui pemerhatian, namun saintis berpandangan, mereka tidak mempunyai rekod tingkah laku serupa dalam tempoh 21 tahun dan 28,000 jam pemerhatian di kawasan itu.

Rakus bagaimanapun berpindah ke wilayah itu dari tempat lain, meningkatkan kemungkinan dia mempelajari teknik perubatan daripada komuniti berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:04 PM