AZHAR pada sidang media berkenaan. FOTO Luqman Hakim Zubir
AZHAR pada sidang media berkenaan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah ditetapkan pada 18 Januari tahun depan.

Selain itu, tarikh penamaan calon pada 4 Januari, manakala pengundian awal pada 14 Januari.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 17 Januari.

Katanya, bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, tarikh buka permohonan ialah 16 Disember, manakala tarikh tutup permohonan ialah pada 2 Januari.

“Daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga Suku Tahun Ketiga Tahun 2019 yang dikemas kini sehingga 9 Disember.

“Ia mengandungi 29,664 pengundi terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. Daftar pemilih itu akan mula dijual pada 26 Disember,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, SPR akan menggunakan Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“Seramai 653 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK P176 Kimanis manakala sebanyak 20 pusat mengundi yang mengandungi semua 69 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“Mulai tarikh 26 Disember, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menelefon ke talian 03-88927018 atau SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya memohon kerjasama semua termasuk media dan parti politik supaya turut mengambil langkah bagi menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

Katanya, PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah selepas mendapati Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam membuat penemuan fakta.

Pada PRU-14 9 Mei tahun lalu, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 1:38 PM