Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya turut bersetuju menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon, manakala tarikh mengundi awal pula pada 16 November.

"Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka yang ke-15 di Banda Hilir, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom; Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.

Beliau berkata, bagi menjalankan proses pilihan raya berkenaan, SPR melantik seramai 28 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dibantu oleh 80 Penolong Pegawai Pengurus, manakala bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

Katanya, sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon dan 28 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi akan digunakan bagi tujuan PRN berkenaan yang membabitkan seramai 12,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN.

"Sebanyak 217 pusat mengundi biasa yang mempunyai 1,109 saluran mengundi serta 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mempunyai 47 saluran mengundi bagi pengundi awal, akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 248 dengan 1,156 saluran. Semua 217 pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang, manakala pusat pengundian awal, 21 yang akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 2 petang dan baki 10 pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Seramai 495,196 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 (anggota tentera dan pasangan), 2,349 (anggota polis) dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara layak untuk mengundi dalam PRN ini.

"Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih menerusi laman portal SPR iaitu pengundi.spr.gov.my, talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 12:19 PM
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP