Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor akan membuat persiapan dan persediaan lebih agresif bagi mengelakkan 'undi silang' pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, undi silang merujuk kepada pengundi yang mengundi calon selain BN selepas mereka memberi kemenangan selesa dan mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Bagi mengelakkan undi silang berlaku, BN Johor katanya, sudah menyusun pendekatan dan strategi kempen lebih berkesan dan proaktif terutama di media sosial selain menemui pengundi bagi memberi penjelasan serta menangkis tohmahan pembangkang.

"BN Johor ketika ini sudah menggerakkan jentera penerangan kita terutama di media sosial selain akan mengadakan perjumpaan santai bagi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai perkembangan isu semasa di akar umbi.

"Masyarakat perlu diberi pemahaman sejelas-jelasnya mengenai isu semasa bagi menangkis tohmahan yang disebarkan pembangkang terutama di media sosial.

"BN Johor tidak mahu undi silang berlaku iaitu mereka kata kita (pengundi) sudah beri undi pada BN Johor pada PRN lalu dan masa PRU-15, hendak undi calon parti lain pula sebagai alternatif di peringkat Persekutuan.

"Ini tidak boleh berlaku kerana jika kita leka, ia membahayakan BN kerana kita boleh kehilangan sasaran kerusi Parlimen. Oleh itu, BN Johor akan menggunakan pendekatan kempen lebih agresif kali ini berbanding PRN lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dan taklimat media sempena PRU-15 di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, kesemua 26 ketua penerangan bahagian BN negeri itu juga sudah dipersiapkan dengan strategi lebih ampuh supaya pengundi terus setia dengan parti itu.

Katanya, persediaan dibuat termasuk memastikan maklumat isu semasa termasuk menangkis serangan pembangkang lebih relevan dan terkini selain cepat disebarkan kepada akar umbi.

Sementara itu, Dr Adham berkata, BN Johor akan melancarkan manifesto PRU-15 pada 2 November ini di Stadium Educity, Iskandar Puteri.

"Pada hari itu, BN Johor akan melancarkan jentera parti secara rasmi dengan dihadiri semua jentera dan gerak kerja seluruh negeri.

"Selain itu, kita akan lancarkan manifesto BN Johor termasuk mengumumkan perkembangan terkini manifesto kita pada PRN Johor lalu iaitu Ikhtiar Johor, sehingga berjaya menang 40 kerusi.

"Pada 3 November, BN Johor akan membuat pengumuman rasmi kesemua 26 calon untuk PRU-15," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 1:22 PM
Dr Adham ketika ditemuramah selepas Majlis Penyerahan Pencen Faedah Penakat PERKESO bersama Pengarah PERKESO Negeri Johor kepada waris mangsa kemalangan, Nurul Nazihah (Azie) di Kampung Batu 4, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Dr Adham ketika ditemuramah selepas Majlis Penyerahan Pencen Faedah Penakat PERKESO bersama Pengarah PERKESO Negeri Johor kepada waris mangsa kemalangan, Nurul Nazihah (Azie) di Kampung Batu 4, Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN