Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor akan menampilkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terbaik yang merangkumi setiap peringkat usia golongan masyarakat daripada muda hinggalah ke warga emas.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, manifesto itu akan menggariskan lima objektif serta matlamat utama bagi memastikan kerajaan yang kuat, kukuh dan stabil.

"BN akan mempersembahkan manifesto terbaik bagi PRN Johor nanti dengan membabitkan semua peringkat usia masyarakat daripada yang muda, tua, bandar, luar bandar selain pengundi baharu.

"Kita yakin manifesto BN ini bukan sahaja mampu beri peluang dan ruang pekerjaan pada rakyat Johor malah bagi mewujudkan kerajaan negeri yang cekap dan berintegriti.

"Fokus utama manifesto BN akan menyentuh penyediaan pendidikan yang lebih baik selain fokus pada taraf hidup rakyat yang lebih baik.

"Manifesto BN juga akan menggariskan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu negara supaya kita dapat bersaing dengan negara serantau," katanya.

KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan hasil rampasan dadah di tiga kediaman di sekitar bandar raya ini. FOTO Mary Victoria Dass.
KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan hasil rampasan dadah di tiga kediaman di sekitar bandar raya ini. FOTO Mary Victoria Dass.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan Ketua Penerangan Umno Johor bersama media Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Norshida Ibrahim dan Presiden Kelab Media Johor, Mohd Fauzi Ishak.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, BN Johor akan melakukan pembaharuan pada PRN Johor dengan mewajibkan semua 56 calonnya melantik pegawai media.

Katanya, langkah itu dibuat bagi membolehkan setiap calon dapat menyampaikan maklumat terutama isu semasa kepada pengundi dengan lebih berkesan.

"Lantikan pegawai media untuk 56 calon Dewan Undangan Negeri (Dun) BN untuk PRN Johor ini adalah antara pembaharuan yang akan kita lakukan.

"BN mengambil maklum dengan suara pengundi yang mahukan setiap calon pilihan raya tampil lebih mesra rakyat dan mudah didekati sesiapa pun.

"Langkah ini juga akan memudahkan pengundi selain media mendapat maklumat segera daripada calon terutama apabila timbul isu berbangkit yang perlu dijawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 6:37 PM