DERETAN bendera parti yang bertanding bagi kempen PRN Johor baru-baru ini.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
DERETAN bendera parti yang bertanding bagi kempen PRN Johor baru-baru ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Luqman Arif Abdul Karim


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) mempunyai asas bersandarkan dua faktor utama untuk meraih kejayaan sekiranya Parlimen dibubarkan, selepas melakar kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dua faktor utama berteraskan 'angin' perubahan sentimen pengundi itu meliputi analisis undi popular dan polemik perpecahan yang masih membelenggu blok pembangkang serta parti serpihan dalam kerajaan.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, perkiraan menerusi sudut pandang dengan membezakan undi popular antara BN dan pembangkang sebenarnya adalah berat sebelah.

Sebaliknya, beliau berkata, perkiraan yang harus diguna pakai adalah dengan membandingkan jumlah undi popular antara BN dan setiap entiti parti.

"Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pakatan Harapan (PH), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Perikatan Nasional (PN) dan parti berkaitan, semuanya dikira satu entiti, bukan campur sekali bagi mengkaji perbandingan undi popular.

"Jika kita kira secara berasingan, PRN Johor menyaksikan BN meraih 43.11 peratus undi popular, berbanding pencabar terdekat iaitu PH sebanyak 26 peratus, sekali gus menyaksikan suatu jarak perbezaan yang sangat jauh.

"Meskipun sistem demokrasi kita tidak mengambil kira undi popular, tetapi ia boleh dijadikan sandaran untuk mengamati perkembangan situasi politik semasa dan cara mencongak kadar sokongan pengundi terhadap parti menjelang pilihan raya.

"Mengambil kira angka sebegini, keputusan BN seandainya kekal bergerak secara sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih akan membuahkan kejayaan dan memadamkan angan-angan PH untuk kembali ke Putrajaya," katanya kepada BH, hari ini.

PRN Johor Ke-15 semalam menyaksikan BN melakar kemenangan selesa, dengan majoriti dua pertiga iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, diikuti PH sebanyak 11 kerusi, PN (3) dan masing-masing satu kerusi oleh Muda serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Peratusan keluar mengundi bagi PRN Johor Ke-15 adalah 1,426,573 orang atau 54.92 peratus, iaitu kadar terendah berbanding Melaka dan Sarawak, yang masing-masing 65.85 serta 60.67 peratus.

Menerusi perkiraan undi popular, BN memperoleh 43.11 peratus daripada keseluruhan 1,391,162 undi (tidak termasuk undi rosak dan undi pos yang tidak dikembalikan), manakala PH (26.42 peratus), PN (24.04 peratus), Muda (3.46 peratus), Pejuang (1.34 peratus), Warisan (0.47 peratus) serta Parti Bangsa Malaysia (0.35 peratus).

Sekiranya analisis dibuat dengan mencampurkan peratusan undi popular diraih blok pembangkang dan parti serpihan kerajaan seperti PN, Azmi berkata, perkiraan sedemikian hanya relevan apabila wujud perubahan politik semasa menjelang PRU-15, malah tidak menolak kemungkinan bakal menyaksikan episod kedua kekalahan BN selepas 2018 lalu.

"Kalau kita kira undi popular secara bersekali, maknanya pembangkang kena membentuk satu konsortium atau yang mereka katakan sekarang 'khemah' besar bagi mempunyai peluang untuk menubuhkan kerajaan menerusi PRU-15.

"Tetapi, kita lihat pembangkang walaupun kalah teruk di Melaka, masih tidak mengambil iktibar dan pengajaran, sebaliknya terus kekal di takuk lama dengan dibelenggu isu perpecahan antara mereka.

"Senang kata, pembangkang diterajui PH dengan konsep 'khemah' besar hanya mampu menumbangkan BN pada PRU-15 jika dapat menarik PN, Muda, Pejuang, Warisan dan parti serpihan lain untuk bersama mereka.

"Hakikatnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN mungkin boleh kembali ke PH walaupun ia agak mustahil, tetapi lain ceritanya dengan Pas," katanya.

Berdasarkan liku perjalanan politik terdahulu, Azmi tidak menolak kemungkinan bahawa Muafakat Nasional (MN) yang tiada 'batu nisan' sehingga kini akan hidup semula, dengan Pas kembali ke pangkuan Umno.

Selain itu, katanya, kemampuan pembangkang menerusi konsep 'khemah' besar hanya akan mendapat nafas baharu dan momentum segar jika ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim digantikan dengan orang lain.

"Persoalannya, tiada susuk lain untuk menggantikan Anwar supaya semua parti dalam blok pembangkang dapat bertaut bagi menumbangkan BN pada PRU-15.

"Ia memang strategi Anwar untuk tiada 'orang kedua' dalam parti, sama seperti pendekatan yang digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga menyaksikan ketandusan calon berkaliber bagi menerajui Pejuang.

"Sifir mudahnya, pembangkang perlu cari nakhoda baharu untuk kumpulkan semua parti dalam 'khemah' besar dan ini harus dilakukan sebelum PRU-15 yang bakal tamat tempohnya menjelang Mei tahun depan.

"Jika gagal merintis usaha sedemikian, pembangkang usah bermimpi untuk menumbangkan BN, waima menggunakan perkiraan undi popular sebagai modal meraih keyakinan jentera parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:30 PM