Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Undi warga Felda termasuk peneroka dan generasi penerus tanah rancangan itu yang membabitkan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Johor yang mempunyai 73 tanah rancangan termasuk gugusan Felda membabitkan kawasan di Segamat, Kota Tinggi, Kulai dan daerah ini dengan lebih 27,000 peneroka.

Jumlah peneroka itu belum lagi membabitkan generasi kedua dan ketiga, selain ahli keluarga mereka sekali gus menjadikan undi warga Felda sangat signifikan dan mampu menentukan parti mana yang bakal dipilih menjadi kerajaan negeri di Johor.

Apatah lagi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menunjukkan hampir 56 peratus undi penduduk Felda bertukar ke Pakatan Harapan (PH), sekali gus meranapkan status sebagai kubu kuat dan simpanan tetap Barisan Nasional (BN) di Johor.

PRN Johor pula menyaksikan kemunculan lebih banyak parti bertanding sehingga mewujudkan saingan sekurang-kurangnya empat penjuru, sekali gus dijangka mampu memecahkan undi warga Felda, menjadikan saingan lebih terbuka dan tidak tertumpu pada parti tertentu.

Tindakan parti terutama BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meningkatkan kempen di serata pelusuk Felda dengan penerimaan masyarakat yang jauh dilihat lebih terbuka terhadap parti bertanding juga menjadikan saingan merebut undi warga Felda semakin menarik dan sengit.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, undi Felda pada PRN Johor sangat signifikan apatah lagi mana-mana parti pun dilihat berpeluang memenangi serta meraih undi penting berkenaan.

Katanya, Felda sebelum ini adalah kubu kuat dan simpanan tetap BN di Johor, namun keputusan PRU-14 ternyata mengejutkan ramai apabila warga Felda yang dianggap pengundi 'totok' parti itu beralih arah ke PH.

Namun katanya, jika peratusan keluar mengundi rendah Sabtu ini, BN mempunyai harapan mendapat undi warga Felda yang disifatkan amat penting itu.

"Pada PRU-14, kira-kira 56 peratus undi Felda beralih daripada BN kepada PH, yang dilakukan generasi kedua dan ketiga Felda yang besar jumlahnya selain sebahagian peneroka.

"Diramalkan kerusi di kawasan Felda yang menjadi milik BN pada PRU-14 akan kekal kepada parti itu.

"Namun perlu diingat, saingan parti terutama PN umpamanya, tidak boleh diperlekehkan apatah lagi manifesto mereka secara jelas menggariskan pembangunan rumah generasi kedua Felda dan hak milik tanah peneroka mampu menggamit sokongan generasi kedua dan ketiga.

"Jika peratusan keluar mengundi rendah, dijangkakan 40 peratus undi yang beralih kepada PH dijangka akan kembali kepada BN. Ia berikutan kebanyakan generasi kedua dan ketiga Felda tidak menetap di Johor, sebaliknya berhijrah keluar dari kawasan itu bagi peluang pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Md Akbal Abdullah berkata, beliau turut meramalkan BN mampu meraih kembali 40 peratus undi warga Felda yang sebelum ini beralih ke PH pada PRU-14.

Katanya, walaupun PN secara agresif berkempen di Felda dengan naratif penghapusan hutang peneroka berjumlah RM8.4 bilion, selain manifesto khusus generasi kedua Felda, warga peneroka dijangka lebih mengutamakan kestabilan kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi dapat dinikmati.

"Memang naratif penghapusan hutang peneroka selain janji manifesto generasi kedua akan menggamit sokongan warga Felda namun saya merasakan mereka lebih mahukan kestabilan kerajaan bagi memastikan pentadbiran negeri lebih terurus sekali dengan lebih banyak inisiatif dapat dilaksana.

"Bagaimanapun, diakui yang paling utama adalah undi atas pagar golongan Felda yang hanya akan membuat keputusan mereka pada saat-saat akhir. Mereka sudah tentu akan menilai dan melihat semua aspek sebelum membuat keputusan mereka.

"Parti selain BN juga dilihat banyak membawakan isu nasional yang mungkin tidak dapat dikaitkan dengan kehidupan warga Felda yang lebih mahukan isu termasuk soal kemakmuran mereka lebih dititik beratkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 5:47 PM