Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Sepasukan 20 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turun padang untuk membersihkan rumah dan kenderaan penduduk di Kampung Wang Perah, di sini, hari ini yang dilanda banjir lumpur akibat kejadian kepala air, semalam.

Tinjauan mendapati sebahagian besar rumah penduduk dipenuhi lumpur tebal sehingga menyebabkan perabot serta peralatan dalam rumah turut rosak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik selesai tugas di Bukit Wang Perah, penduduk kampung meminta bantuan bomba untuk membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur.

Menurutnya, pihaknya mendapati kawasan kampung itu terjejas teruk akibat kesan lumpur dari kepala air di Bukit Wang Perah, semalam.

"Berikutan itu, saya bersama anggota dan pegawai kanan JBPM Kedah melakukan program khidmat masyarakat untuk membersihkan 10 daripada lebih 50 rumah penduduk yang terjejas agak teruk dalam kejadian itu.

"Program ini kami lakukan secara sukarela selepas penduduk meminta bantuan sehingga selesai," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.

Penduduk kampung berkenaan, Norhayati Md Zain, 50, berkata bantuan pihak bomba secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka sekeluarga mencuci rumah yang dipenuhi lumpur akibat kejadian terbabit.

Katanya, air mulai naik pada 7.30 malam semalam sebelum memasuki rumahnya 15 minit kemudian.

"Ketika itu air sungai di belakang rumah masuk agak deras sehinggakan saya tak sempat nak selamatkan apa-apa kerana tinggal seorang diri, manakala suami Md Nasir Md Nor, 60, mempunyai urusan di Pekan Jitra dan anak-anak pula mengaji," katanya.

Kawasan rumah penduduk di Kampung Wang Perah yang dipenuhi lumpur akibat kejadian kepala air yang berlaku semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kawasan rumah penduduk di Kampung Wang Perah yang dipenuhi lumpur akibat kejadian kepala air yang berlaku semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 5:08 PM