BADRUL Hisham (kanan) dan Abdul Halim menceritakan pengalaman mereka berlindung di Bukit Wang Perah. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
BADRUL Hisham (kanan) dan Abdul Halim menceritakan pengalaman mereka berlindung di Bukit Wang Perah. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: "Inilah pengalaman paling mencabar pernah saya hadapi sepanjang masuk hutan," kata Badrul Hisham Badri, 50, yang diselamatkan selepas terkandas di Bukit Wang Perah, hari ini.

Selain berhadapan kepala air, dia dan rakannya, Abdul Halim Ibrahim, 35, terserempak dua beruang hitam yang berlegar di kawasan tempat mereka berlindung.

Katanya, dia bersyukur beruang itu tidak mengganggu mereka, namun sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan tiada ancaman binatang buas sehingga beredar dari kawasan itu pada 6 pagi.

"Beruang muncul sekitar 9 malam hingga 1 pagi, berkemungkinan mencari makanan.

"Kami pun tidak ganggu, cuma ketika itu sedang membakar ikan yang sempat dijala sebelum kepala air berlaku," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang malam mereka tidak tidur dan menunggu sehingga pagi untuk beredar, mencari jalan keluar.

"Memang nampak banyak kesan tapak kaki beruang menghala ke sungai.

"Walaupun pernah masuk hutan sebelum ini, tapi inilah pengalaman mencabar bagi saya, berdepan kepala air, beruang dan menunggu bantuan.

"Penduduk kampung pun beritahu tempat kami berlindung itu banyak binatang buas," katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, mereka menunggang motosikal untuk ke Sungai Wang Perah bagi menjala ikan pada 3 petang semalam.

Katanya, ketika itu tidak hujan, sehinggalah hujan tiba-tiba pada 5 petang dan berlaku kepala air.

"Kami nak seberang sungai tapi tak sempat dan ambil keputusan untuk panjat bukit dan mencari liputan talian telefon bagi menghantar mesej kepada ahli keluarga.

"Waktu itu pun sudah 7 malam, gelap dan kami putuskan untuk bermalam sahaja di situ. Dapat dengar bunyi deruan air dan bongkah batu bergolek," katanya yang bersyukur pasukan penyelamat menemui mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 1:57 PM