Zuliaty Zulkiffli

Baling: Penduduk di sekitar Kampung Iboi, Kupang, masih tidak henti mencuci rumah sejak petang kelmarin untuk membersihkan sisa dan kesan lumpur yang masih banyak akibat kejadian kepala air, Isnin lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati, kebanyakan penduduk bertungkus-lumus membersihkan kediaman mereka yang dihanyutkan air deras akibat fenomena kepala air Isnin lalu.

Penduduk mendakwa, banyak barangan perabot serta elektrik yang rosak sepenuhnya akibat lumpur susulan kejadian itu.

Solihin Azman, 47, berkata, dia membantu mencuci rumah kakak iparnya, Fuziah Yusof, 64, yang ditenggelami air dalam kejadian itu.

Katanya, dia menggunakan water jet untuk mencuci bahagian di dalam dan di luar rumah yang masih berlumpur.

"Agak sukar nak bersih keseluruhan kawasan rumah kerana lumpur agak tebal dan banyak.

"Saya cuci rumah sejak kelmarin itu pun masih banyak lagi yang belum selesai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

SOLIHIN Azman mencuci kawasan rumah kakak iparnya yang dipenuhi lumpur akibat fenomena kepala air di Kampung Iboi, Kupang. FOTO Zuliaty ZUlkiffli
SOLIHIN Azman mencuci kawasan rumah kakak iparnya yang dipenuhi lumpur akibat fenomena kepala air di Kampung Iboi, Kupang. FOTO Zuliaty ZUlkiffli

Penduduk lain, Mohd Azwan Awang Kechik, 42, berkata, banjir akibat fenomena kepala air itu menyebabkan tiga rumah ahli keluarganya ditenggelami air yang disertai lumpur.

Katanya, selain rumahnya di Kampung Iboi, rumah ibu dan ibu mentuanya turut dipenuhi banjir lumpur.

"Syukurlah ramai yang datang membantu termasuk polis, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti serta orang perseorangan yang datang membantu untuk membersihkan rumah penduduk di sini.

"Dari segi bantuan makanan dan keperluan kelengkapan diri kami tak kisah kerana semuanya mencukupi cuma kami harap rumah kami dapat dicuci sepenuhnya sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, warga Kontinjen Kedah pelbagai agensi lain menyertai Op Bantu untuk pembersihan rumah penduduk sejak semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut membuka kaunter di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai untuk memudahkan penduduk membuat laporan polis berkaitan kehilangan dan kerosakan harta benda akibat insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 9:00 AM