ISMAIL Yusof tidak menyangka rumah akan ditenggelami air beserta lumpur akibat kepala air yang berlaku semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffi
ISMAIL Yusof tidak menyangka rumah akan ditenggelami air beserta lumpur akibat kepala air yang berlaku semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffi
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Penduduk di kawasan berhampiran Gunung Jerai tidak menyangka akan dilanda banjir kilat yang disertai lumpur yang teruk berikutan kejadian kepala air yang berlaku semalam.

Ismail Yusof, 42, berkata, setiap tahun kawasan rumahnya di Kampung Seri Perigi, di sini dilanda banjir kilat tetapi paras air yang naik biasanya hanya sehingga 0.2 meter sahaja.

Katanya, biasanya air yang masuk ke dalam rumah disertai air jernih tetapi semalam ia turut disertai lumpur tanah merah yang dipercayai dari atas gunung.

"Hujan bermula sejak jam 12 tengahari sebelum mulai lebat jam 3 petang.

"Saya dan keluarga dah bersiap sedia mengangkat barangan dalam rumah kerana dah biasa alami banjir kilat setiap tahun. Namun semalam air masuk dengan cepat sehingga lebih paras 0.5 meter," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Menurut Ismail, pada mulanya dia mendengar deruan kuat dari arah Gunung Jerai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya tetapi tak sangka ia kepala air.

"Kejadian kepala air jarang berlaku di situ dan paling teruk yang dialami semalam.

"Air masuk dengan laju ke dalam rumah dan ia bagaikan "tsunami" kecil namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dalam kejadian ini," katanya.

PENDUDUK di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENDUDUK di Kampung Seri Perigi membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat akibat kepala air yang melanda semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Ismail berkata, hari ini mereka sekeluarga mencuci kawasan rumah yang penuh dengan lumpur dan berselut namun tetap bersiap sedia kerana bimbang tragedi berulang.

"Saya tak sangka kejadian semalam menyebabkan tiga kematian di daerah ini kerana mereka penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan yang terjejas akibat banjir kilat dan kepala air di kawasan berhampiran Gunung Jerai dan Titi Hayun di sini mendapati, kayu yang dibawa arus deras semalam masih kelihatan.

Penduduk kampung berhampiran juga sedang membersihkan kawasan rumah masing-masing akibat kesan kepala air yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:23 PM