Zuliaty Zulkiffli


“CUMA tiga saat memisahkan saya daripada maut apabila tiba-tiba alang kayu dan bumbung dapur rumah ranap sejurus melangkah keluar dari bilik air, semalam,” kata Afiqah Mohamad, 24.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, sebanyak 17 rumah di empat kampung iaitu Kampung Matang Paku, Matang Bonglai, Kampung Pida 7 dan Pida 8 rosak terutama pada bahagian bumbung dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat.

Afiqah berkata, dia bersama ibu, bapa dan dua adiknya berlindung di ruang tamu untuk menyelamatkan diri kerana hujan terlalu lebat.

Katanya, namun tidak lama kemudian, bahagian bumbung di ruang tamu turut diterbangkan angin menyebabkan mereka berlari untuk berlindung di tepi pintu selain berserah kepada Allah sahaja.

“Kami nak keluar tapi tak boleh sebab angin kuat dan air hujan pula masuk mencurah-curah ke dalam rumah menyebabkan kami hanya duduk di tepi pintu depan sambil menunggu hujan reda.

“Ketika itu saya nampak kepingan bumbung milik jiran bersebelahan diterbangkan angin sehingga ke tengah sawah dan kami semua hanya mampu menjerit ‘Allahuakbar’,” katanya ketika ditemui di Kampung Matang Paku, Jitra, hari ini.

Katanya, dia yang tinggal di Sanglang pulang ke rumah keluarganya, pagi semalam untuk menemani ibunya, Arohani Osman, 48, membeli barangan dapur di Pekan Air Hitam.

PENDUDUK Muhamad Hakim Yusof mengangkat barangan yang terselamat selepas bumbung di bahagian belakang rumahnya di Kampung Matang Paku, Jitra, diterbangkan ribut, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENDUDUK Muhamad Hakim Yusof mengangkat barangan yang terselamat selepas bumbung di bahagian belakang rumahnya di Kampung Matang Paku, Jitra, diterbangkan ribut, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Sementara itu, jirannya, Mohd Ariff Yusof, 25, berkata dia melihat angin kuat mengangkat tingkap berkali-kali sebelum siling rumahnya jatuh.

Katanya, bunyi angin yang kuat seperti orang melempar batu amat menakutkan dan kejadian berlaku tidak sampai tiga minit.

“Namun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat walaupun bahagian dalam rumah dipenuhi air manakala bumbung di bahagian belakang rumah habis diterbangkan angin,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, pihaknya mendapati banyak rumah rosak akibat bumbung diterbangkan angin kencang.

Katanya, seramai 15 anggota APM dihantar ke lokasi untuk membantu penduduk membersihkan kawasan selain memotong dahan pokok yang tumbang.

Sementara, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Aziz Mahamud berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan peribadi daripada Menteri Besar kepada setiap keluarga yang terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, daripada jumlah 17 rumah berkenaan, 10 daripadanya rosak teruk dan bantuan susulan akan diberi kepada mereka untuk membaiki kerosakan.

“Kunjungan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan APM Kubang Pasu ini untuk meninjau keadaan rumah yang rosak bagi tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 12:48 PM