GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Azhar Shahrulnizam


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, supaya sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

SKMM menerusi kenyataan media berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

"Susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Jika disabitkan kesalahan, pengguna boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

SKMM akan menjalankan penguatkuasaan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Orang ramai boleh melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:22 PM