Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) beriltizam dan komited untuk terus memartabatkan syiar Islam menerusi pelbagai program serta inisiatif.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan satu peruntukan khusus untuk individu yang terbabit secara langsung dengan pengimarahan masjid serta surau.

Pada pembentangan Bajet 2023, kerajaan menyediakan hampir RM700 juta sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) dan guru takmir.

Kerajaan juga memberikan bayaran khas 'one-off' sebanyak RM500 kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut (pengurus atau penjaga masjid).

Mohd Ajib berkata, JAWI sebagai sebuah agensi peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan beriltizam akan terus komited dalam misi untuk memartabatkan syiar Islam.

"Kita juga tetap komited untuk mengembangkan syiar Islam ini dengan mempelbagaikan program, pendekatan dan inisiatif yang membangunkan serta memberikan banyak manfaat kepada Ummah.

"Secara zahirnya, JAWI menyambut baik serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana masih mengambil berat tentang pengurusan serta pembangunan Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 8:49 PM