MENERUSI Belanjawan 2023,  kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, tahfiz dan institusi pondok berdaftar.
MENERUSI Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, tahfiz dan institusi pondok berdaftar.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengurusan dan pembangunan syiar Islam sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan.

Di bawah Belanjawan 2023, bagi menghargai jasa dan keringat guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa), kerajaan bersetuju menaikkan elaun mengajar sebanyak RM100 daripada RM1,000 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

Menerusi Belanjawan 2023 juga, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, tahfiz dan institusi pondok berdaftar.

Kerajaan turut memberi sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja (petugas masjid), marbut (pengurus masjid), guru Kafa dan guru takmir.

Insentif ini mendapat sambutan begitu baik terutama bagi mereka yang terbabit dalam inisiatif pembangunan agama.

Guru Kafa, Muhammad Al-Hakim Mohamed Hafiz berkata, inisiatif yang baik perlu dikekalkan dan diteruskan kerana ia dapat membantu asatizah mendepani taraf kehidupan seharian.

"Kami juga berharap kerajaan dapat mengambil perhatian kembali terhadap skim jawatan tetap untuk guru Kafa atau inisiatif khas seperti skim kesihatan, pembiayaan pembelian rumah atau pinjaman peribadi.

"Komitmen kerajaan dalam memperjuangkan Islam dengan memberi peruntukkan khas untuk menambah baik sekolah agama, tahfiz dan institusi pondok berdaftar juga adalah usaha dan langkah yang sangat baik.

"Ia dapat memberi keselesaan dan manfaat kepada pelajar serta guru yang berada di institusi agama dan diharapkan perhatian seperti ini sentiasa diteruskan dan dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mempermudahkan segala urusan dakwah serta disaran membantu dari sudut kos pendidikan yang semakin tinggi.

Bagi Ahli Pengurusan Maahad Tahfiz, Dr Ruhul 'Izzati Shaharuddin, beliau menyambut baik inisiatif berkenaan kerana pemberian bayaran khas dan kenaikan elaun memberi motivasi kepada mereka untuk terus berkhidmat dalam tugas masing-masing.

"Usaha kerajaan menambah baik sekolah agama, tahfiz dan pondok juga sangat baik kerana institusi turut menyumbang kepada pembentukan modal insan dalam negara.

"Kini terdapat tahfiz vokasional, jadi pelajar dan anak-anak bukan sekadar didedahkan dalam hafazan atau agama malah pekerjaan di lapangan yang memberi nilai tambah kepada kualiti generasi akan datang, sebagai contoh kemahiran fertigasi, akuakultur, penternakan ruminan, dan kulinari seperti yang ditawarkan Instaqlim.

"Selain itu, saya berharap kerajaan dapat menggalakkan kerjasama antara institut kemahiran, universiti atau badan yang mempunyai ilmu kemahiran berbeza untuk menawarkan ilmu kepada pelajar sekolah agama atau tahfiz dalam memberi pendedahan ilmu dan kemahiran kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi mengedarkan 20,000 al-Quran terjemahan bahasa asing juga inisiatif yang baik kerana ia memberi manfaat sekiranya digunakan dan diajarkan pada golongan sasaran yang berminat.

Sementara itu, bagi bilal masjid, Tanzizi Nordin, pemberian sumbangan khas RM600 dianggap sebagai penghargaan kerajaan kepada mereka yang bertugas di masjid.

"Sudah pasti kami menerima sumbangan ini dengan penuh syukur dan semoga penghargaan seperti ini dapat diteruskan.

"Kami melihat usaha ini sebagai satu langkah yang baik oleh Kerajaan Perpaduan dan kami menyokong insentif yang memberi manfaat kepada pembangunan Islam.

"Pada pendapat saya, aktiviti keagamaan di peringkat sekolah juga perlu diperbanyakkan lagi untuk mendidik pelajar termasuk program keagamaan dan kerohanian yang membentuk jati diri umat Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 8:49 AM