IDRIS Ahmad. FOTO arkib NSTP
IDRIS Ahmad. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM58.5 juta kepada kerajaan negeri untuk membayar imbuhan imam, elaun guru KAFA dan takmir sepanjang tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, menerusi peruntukan terbabit, RM17.3 juta imbuhan diperuntukkan kepada 1,699 imam, RM34.2 juta elaun kepada 2,490 guru KAFA dan RM4.48 juta kepada 415 guru takmir.

Selain itu, Idris juga berkata, pihaknya turut memberi bayaran khas sebanyak RM500 secara sekali bayar (one-off) kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di Sabah tahun ini.

"Bayaran khas sebanyak RM500 diteruskan lagi pada tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir seramai 4,372 penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2,186,000.

"Ini bagi menghargai sumbangan mereka dalam pengimarahan masjid khususnya di Sabah. Bayaran khas ini akan disalurkan kepada penerima sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) PERKESO juga diteruskan lagi tahun ini kepada mereka membabitkan seramai 1,230 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM286,344 setahun," katanya ketika Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Tugas Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bongsu @ Aziz Jaafar.

Idris berkata, pihaknya juga menyalurkan bantuan khas RM1,245,000 kepada 2,490 guru KAFA di negeri ini sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 10:30 AM