GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyaluran peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam menunjukkan komitmen kerajaan memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami) Putrajaya, Mohd Gunawan Che Abd Aziz berkata, apa yang diperuntukkan dalam Bajet 2022 itu petunjuk kepada usaha baik.

"Bagi saya sudah tentu apa yang disenaraikan itu usaha baik kerana membabitkan beberapa aspek contohnya peranan Takmir diperluaskan dan mudah dicapai golongan sasaran lain tidak tertumpu di surau dan masjid saja.

"Baguslah ini sangat sesuai dalam sama-sama menyemarakkan lagi pembinaan sahsiah warga negara selain kita melihat ini sebagai pengiktirafan peranan pendakwah dan guru agama kepada pembinaan modal insan negara.

"Selain itu, pemberian khas RM500 kepada imam, bilal, guru takmir dan Kafa serta sebagainya itu mengukuhkan lagi penghargaan jasa dan satu pengiktirafan kepada usaha golongan berkenaan selama ini," katanya.

Katanya, beliau menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Tabung Wakaf dengan dana permulaan RM10 juta bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka jika ditimpa bencana.

"Ia satu usaha baik yang boleh meningkatkan lagi ekonomi ummah dan membela nasib usahawan terbabit.

"Namun, perlukan penyelarasan lebih rapi dan bersepadu serta perhebatkan lagi promosi keberkesanan hasil produk wakaf supaya ia dapat meningkatkan lagi kesedaran kepentingan berwakaf," katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi mengimarahkan syiar Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ini termasuk memperluaskan skop pengajaran Takmir kepada Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang guru takmir.

Kerajaan turut menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 untuk manfaat 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan Kafa selain memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 7:54 PM