SULTAN Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengingatkan supaya seluruh rakyat Malaysia sentiasa berwaspada terhadap unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang dinikmati hari ini.

Menerusi Selangor Royal Office sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini, baginda juga menyeru supaya rakyat terus menghayati erti sebenar kemerdekaan di samping menyuburkan rasa cinta kepada tanah air dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa dan bangsa.

"Baginda berharap rakyat tidak 'buta sejarah' dengan melupakan jerih perih perjuangan serta pengorbanan orang-orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.

"Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan," demikian titahnya.

Sultan Sharafuddin juga mahu sekalian rakyat kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat-menghormati, bersatu-padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan.

"Jangan sesekali mencampuradukkan isu-isu politik, perkauman dan agama yang boleh mencetus pertelagahan dan memecah belahkan rakyat," titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 8:55 AM