Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran Negeri Selangor kepada 87 individu termasuk sebahagian besar adalah petugas barisan hadapan sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-76 hari ini.

Petugas barisan hadapan yang terpilih sebagai penerima terdiri di antara pegawai dan kakitangan kesihatan, tentera, pihak pengurusan jenazah Covid-19, bomba dan polis.

Bagi Darjah Kerabat Selangor, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga Orang Besar Bergelar, Tengku Datuk Ramli Al-Haj Tengku Shahruddin Shah Al-Haj.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului penerima dengan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, seramai tujuh individu termasuk tiga duta besar Malaysia ke luar negara dikurniakan Darjah Kebesaran - Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk bagi penerima lelaki dan Datin Paduka bagi penerima wanita.

Baginda berkenan mengurniakan D.P.M.S. kepada Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Tarid Sufian dan Duta Besar Malaysia ke Kanada, Anizan @ Siti Hajjar Adnin.

Turut menerima darjah kebesaran itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Anuar Mohamad Ali dan Panglima Wilayah Laut 1 (Kuantan), Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain, TLDM.

Seramai sembilan individu pula dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk termasuk juruiring tentera yang berkhidmat dengan baginda sejak 2001 sehingga kini iaitu Kepten Ahmad Ramli Kardi.

Tiga pegawai kanan tentera turut dikurniakan D.S.I.S iaitu Ketua Pengarah Pergigian Markas Tentera Darat, Brigadier Jeneral Dr Mohd Rosli Majid; Pegawai Memerintah 94 HAT Kem Terendak, Brigadier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis serta Panglima Pasukan Khas Laut (Lumut) Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Redzuan Talib, TLDM.

Baginda juga berkenaan mengurniakan D.S.I.S kepada Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Idris yang juga 'Core Team' bagi pembentukan Pusat Kuarantin Berisiko Rendah Covid-19 di MAEPS membabitkan PKRC 1.0 dan PKRC 2.0.

Penceramah bebas yang juga Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah juga penerima D.S.I.S. tahun ini.

Lima pengarah jabatan di Selangor pula antara 19 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S), namun tidak membawa apa-apa gelaran termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh dan Pengarah Jabatan Meteorologi Selangor, Azmi Atan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor mendahului 14 penerima bagi Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) dan tidak membawa apa-apa gelaran.

Sultan Sharafuddin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 15 individu, manakala 14 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli - Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh penerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

Tarikh istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-76 baginda itu akan dimaklumkan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 9:46 AM