SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam. FOTO Ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru umat Islam supaya menghayati Maal Hijrah dengan mencontohi akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW.

"Sempena sambutan Awal Muharam tahun ini, Beta menyeru kepada orang Melayu Islam di Selangor agar memperbaharui azam dan tekad dengan mengubah cara kita berfikir dan melakukan sesuatu tindakan, ke arah mencapai matlamat kecemerlangan di dalam kehidupan.

"Bagi memastikan matlamat kecemerlangan ini tercapai, umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri kita.

"Ini termasuklah sifat hasad dengki dan fitnah-memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain khususnya di media-media sosial, yang boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang," titah baginda menerusi Facebook rasmi, Selangor Royal Office semalam.

Sultan Sharafuddin juga menyeru supaya umat Islam menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran.

Begitu juga sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang juga sifat-sifat orang munafik.

"Beta berharap sambutan Maal Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

"Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

"Beta dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 9:04 AM