ISMAIL Sabri. FOTO Arkib Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Arkib Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara, Turkiye.

"Patik merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Marmara, Turkiye.

"Tahniah Tuanku," kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman Facebooknya.

Semalam, Seri Paduka dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat itu sebagai mengiktiraf sumbangan baginda dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Ijazah Kedoktoran Kehormat itu disampaikan oleh Rektor Universiti Marmara Profesor Dr Mustafa Kurt berdasarkan sumbangan Seri Paduka dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia dalam satu majlis di universiti berkenaan.

Turut mengiringi baginda menerima anugerah itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sedang mengadakan Lawatan Negara tujuh hari ke Turkiye yang bermula Isnin lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 11:56 PM