ANTARA individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
ANTARA individu yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 36 individu individu ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan syariah berkaitan minum minuman memabukkan dalam Operasi Bersepadu Premis Hiburan di beberapa pusat hiburan sekitar ibu kota ini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) terbabit dalam operasi itu bermula 10 malam (semalam) hingga 5.30 pagi tadi.

Operasi itu juga membabitkan agensi lain terdiri daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan (JIM).

Katanya, operasi itu dijalankan di 10 pusat hiburan di sekitar Solaris Dutamas, Desa Parkcity, Jalan Ipoh dan Jalan Kemunting.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap pengunjung terdiri warga asing dan tempatan, pihak JAWI menahan 36 individu membabitkan 17 lelaki dan 19 wanita yang melakukan pelbagai kesalahan syariah berkaitan minum minuman memabukkan untuk tindakan lanjut.

"Jawi juga mengeluarkan 33 Surat Perintah Hadir (SPH) kepada individu beragama Islam untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559)," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak DBKL menutup tujuh premis serta merta dan menyita peralatan mengikut Seksyen 17 Akta Hiburan 1992.

"Selain itu, DBKL juga membuka tujuh kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) akta sama kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran.

"DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana gagal mempamerkan lesen serta Undang-Undang Kesalahan Kecil (UUK) 20(1)(e) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan aktiviti selain dari lesen perniagaan.

"DBKL juga menyita 32 peralatan di tujuh premis berkenaan yang digunakan untuk aktiviti hiburan (muzik) termasuk komputer riba, mikrofon, lampu pentas dan layar komputer," katanya.

Katanya, semua peralatan yang dirampas dibawa ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.

"Kerjasama tindakan penguatkuasaan bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 8:14 PM