ANTARA premis hiburan diserbu Jabatan Penguatkuasaan DBKL di sekitar ibu kota. FOTO Ihsan DBKL
ANTARA premis hiburan diserbu Jabatan Penguatkuasaan DBKL di sekitar ibu kota. FOTO Ihsan DBKL
Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan dua pusat hiburan di ibu negara ditutup selepas didapati melanggar syarat hiburan, Jumaat lalu.

Dalam operasi bermula 11 malam, pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit memeriksa lapan premis, di sini, menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Hiburan).

DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, dua pusat diarah tutup mengikut Seksyen 17 Akta Hiburan 1992 selepas didapati mengadakan persembahan muzik, nyanyian karaoke dan deejay tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, pihaknya juga membuka enam kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta sama serta mengeluarkan empat notis kompaun kerana melantik pembantu tanpa kebenaran.

"Satu notis kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan premis tiada lesen beroperasi mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"DBKL menyita 15 peralatan muzik di dua premis yang dikenakan arahan penutupan dan dihantar ke ke Stor Sitaan DBKL Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara," katanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 1:05 PM