Motosikal Honda Wave yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang akhirnya ditemui semula di negeri ini dalam SJR di Hutan Kampung. FOTO IHSAN PDRM
Motosikal Honda Wave yang dilaporkan hilang di Pulau Pinang akhirnya ditemui semula di negeri ini dalam SJR di Hutan Kampung. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Jelutong, Pulau Pinang bulan lalu akhirnya ditemui di negeri ini selepas tertangkapnya seorang lelaki ketika menunggang motosikal berkenaan, petang semalam.

Motosikal Honda Wave itu dilaporkan hilang pada 22 Julai lalu namun ditemui selepas lelaki berusia 36 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Hutan Kampung di sini.

Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang diketuai Inspektor Hilmi Sauti bermula 4 petang hingga 11 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, anggota trafik menahan motosikal terbabit yang ditunggangi lelaki itu selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap nombor enjin dan nombor casis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Pulau Pinang.

"Hasil semakan rekod juga mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah yang dilakukannya sebelum ini.

"Lelaki itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik, IPD Kota Setar bersama motosikal terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan muda terutamanya supaya jangan mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak bermoral terutamanya jenayah dan dadah.

Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah dan dadah bolehlah disalurkan kepada pihak polis atau mana balai yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:45 PM