Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Enam puluh dua kenderaan diperiksa dengan 24 saman dikeluarkan membabitkan 25 kesalahan jalan raya dalam Ops Samseng Jalanan di pusat bandar Alor Setar dan Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 42 tahun turut ditahan kerana memiliki dadah syabu dan heroin manakala dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun ditahan kerana merempit di Jalan Kuala Kedah, dalam operasi dari 1 hingga 5 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata pegawai dan 19 anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dibantu pegawai dan lapan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, 25 kereta dan 37 motosikal diperiksa membabitkan pemeriksaan ke atas 84 pengguna.

“Pemeriksaan juga mendapati motosikal remaja berusia 17 tahun itu juga adalah motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Mohd Rozi berkata, antara kesalahan dilakukan tidak memiliki lesen, kenderaan tiada insurans, ubah suai kenderaan, tidak melekat lesen P, menunggang motosikal berlawanan arah dan bawah umur.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 danSeksyen 3 (1) ADB 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

"Sementara menggunakan motosikal curi siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 108 (3) f APJ 1987 bagi kesalahan trafik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 3:37 PM