Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Bandaraya Alor Setar dari tengah malam hingga pagi tadi. Foto ihsan PDRM
Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Bandaraya Alor Setar dari tengah malam hingga pagi tadi. Foto ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menyita 23 motosikal dan mengeluarkan 99 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar bandaraya ini bermula tengah malam tadi.

Operasi bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi itu membabitkan seorang pegawai dan 28 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Setar bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kota Setar.

Ia membabitkan tiga sekatan jalan raya untuk membanteras kegiatan samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, seramai 150 penunggang motosikal berusia 15 hingga 30 tahun dan sebanyak 110 kesalahan trafik dilakukan mereka dengan 99 saman dikeluarkan.

Menurutnya, antara kesalahan dilakukan mereka adalah memandu laju, tiada lesen, tiada insurans cukai jalan, bawah umur, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat, memandu berbahaya, menggunakan nombor pendaftaran palsu, dan mengubahsuai motosikal.

"Dalam pemeriksaan itu juga kita menahan dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun kerana memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta mengguna nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita turut memeriksa 17 buah kereta dan mengeluarkan 25 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik," katanya.

Mohd Rozi berkata, pihaknya akan terus menjalankan ops ini setiap hari sehingga masyarakat sedar mengenai bahaya merempit khusunya dalam kalangan remaja.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 3:31 PM