Siti Rohana Idris

Tumpat: Kejadian ribut kencang yang melanda Pantai Geting, semalam mengakibatkan pengusaha khidmat sewaan kanopi kerugian kira-kira RM150,000.

Kerugian itu membabitkan 14 'monkey tent' yang koyak dan lima khemah diterbangkan angin, peralatan elektrik dan 500 kerusi plastik yang dipasang di tapak program anjuran kerajaan.

Nik Mohamad Faris Nik Zolkepli Amin, 31, berkata, semua kerosakan itu sudah dianggap 'total loss' (cukup merugikan) kerana semua barangan musnah dan tidak boleh digunakan.

"Saya menerima panggilan daripada pekerja, 6.50 petang semalam memaklumkan kejadian ribut kencang sedang melanda di tapak program.

"Apabila tiba di sana sebaik ribut reda, keadaan memang sangat teruk dengan khemah utama ranap dan lima daripada 10 khemah kecil berada di merata-rata kerana diterbangkan angin.

"Kerja mengemas sudah dilakukan sejak malam tadi tapi memandangkan agak rumit untuk dilakukan, ia bersambung hari ini tapi saya jangkakan esok akan selesai sepenuhnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

BEBERAPA khemah rosak dan diterbangkan angin akibat angin kencang di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BEBERAPA khemah rosak dan diterbangkan angin akibat angin kencang di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Nik Mohamad Faris berkata, sepatutnya program yang dianjurkan itu berakhir malam tadi namun terpaksa dibatalkan berikutan kejadian berkenaan.

Katanya lagi, selama 20 tahun khidmat sewaan itu dijalankan bermula daripada bapanya, belum pernah lagi berdepan dengan kejadian sebegitu yang menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

"Beberapa tahun lepas kami pernah berdepan dengan bencana alam yang sama ketika dalam satu majlis di Besut, Terengganu tapi kejadiannya tidak seteruk ini.

"Walaupun terpaksa menanggung kerugian yang besar, saya anggap ini ujian kerana tiada sesiapa yang meminta ia berlaku," katanya.

Kejadian ribut kencang bersama hujan lebat yang berlaku lebih setengah jam semalam menyebabkan pengunjung di Pantai Geting bertempiaran lari menyelamatkan diri dan situasi semakin cemas apabila banyak objek termasuk khemah berterbangan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 2:45 PM