Siti Rohana Idris


Tumpat: "Kami tidak sempat selamatkan apa-apa dan hanya mampu beristighfar apabila ribut pasir melanda," kata Nur Asma Laila Abdullah, 27.

Dia adalah salah seorang daripada 15 peniaga di Pantai Genting di sini, menjadi mangsa kejadian ribut kencang dan berpasir yang memusnahkan gerai dan peralatan jualan mereka.

Angin kencang yang berlaku kira-kira setengah jam itu disusuli ribut beserta pasir menyebabkan gerai terbalik, kanopi patah termasuk menerbangkan wang hasil jualan.

Menurut Nur Asma Laila yang baharu lima hari berniaga bersama abangnya, Mohd Azroy Abdullah, 33, kejadian berlaku secara tiba-tiba pada jam 6 petang semalam dan sehingga kini masih trauma.

KEADAAN gerai jualan di Pantai Geting yang musnah dilanda angin kencang dan ribut pasir dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam. FOTO ihsan Pembaca
KEADAAN gerai jualan di Pantai Geting yang musnah dilanda angin kencang dan ribut pasir dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam. FOTO ihsan Pembaca

"Sebelum kejadian, cuaca memang mendung dan pengunjung juga belum ramai manakala saya serta peniaga lain sedang menyiapkan barang jualan.

"Tidak lama kemudian, angin kencang melanda dan kami memegang tiang kanopi masing-masing kerana bimbang diterbangkan.

"Namun secara tiba-tiba ribut beserta pasir melanda, kami tidak sempat selamatkan kerana pandangan kabur disebabkan pasir berterbangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, yang turut memaklumkan rugi RM500 termasuk wang jualan yang diterbangkan angin.

Seoranga lagi peniaga, Siti Nur Azura Abdullah, 28, berkata, sepanjang tiga tahun berniaga di Pantai Geting, kejadian itu pertama kali dialaminya.

Sambil menyifatkan ia adalah kejadian luar biasa, dia berkata, semua peniaga yang terbabit mengalami kerugian dan tidak dapat kembali berniaga dalam masa terdekat.

"Kami semua tidak lari menyelamatkan diri kerana menyangkakan ia hanya ribut biasa.

"Namun rupanya ia ujian buat kami peniaga kecil-kecilan dan untuk kembali berniaga dalam masa terdekat agak sukar kerana terpaksa membeli semula semua peralatan yang musnah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 6:49 PM