Siti Rohana Idris

KELIBAT warga emas menunggang skuter dipenuhi Jalur Gemilang bukan sesuatu yang asing di sekitar daerah Tumpat.

Bukan hanya skuter milik Jusop Ibrahim, 73, dilekatkan Jalur Gemilang pelbagai saiz, malah kiri dan kanan topi keledar yang dipakainya juga ditampal dengan bendera Malaysia.

Jusop yang tinggal di Kampung Kebun, Tumpat, berkata, sudah hampir 10 tahun dia memasang Jalur Gemilang dan meletakkan gambar momen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan merdeka di skuternya.

"Jalur Gemilang yang dipasang di skuter saya bukan secara bermusim, tapi setiap masa dan bendera akan ditukar apabila lusuh atau rosak.

"Setiap hari saya akan menunggang skuter ini sekitar Tumpat dan berasa bangga apabila ramai yang melihat kerana secara tidak langsung dapat menaikkan semangat patriotik," katanya.

SEMANGAT patriotik yang ditunjukkan Jusop dengan menghiasi motosikalnya dengan 100 Jalur Gemilang ketika ditemui di Pantai Geting. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEMANGAT patriotik yang ditunjukkan Jusop dengan menghiasi motosikalnya dengan 100 Jalur Gemilang ketika ditemui di Pantai Geting. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Dia berkata demikian ketika ditemui sempena program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di Dataran Pantai Geting, Tumpat, hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat itu disertai 300 peserta.

Jusop yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, sempena bulan kebangsaan, dia semakin kerap meronda dengan skuternya dan berasa puas hati melihat Jalur Gemilang berkibar megah.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia tidak kisah membelanjakan kira-kira RM500 untuk menghias skuternya yang dibawa merata-rata kerana semangat patriotisme begitu menebal dalam diri.

"Ramai yang memberi galakan serta mengambil peluang merakamkan gambar kenangan dengan skuter ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 4:17 PM